KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Johor telah menyumbang sebanyak RM500,000 untuk negeri-negeri yang ditimpa musibah banjir di seluruh negara.
Bantuan itu diberikan sebagai tanda keprihatinan sesama ummah, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri itu, Mohd Fared Mohd Khalid.
Menurut beliau, peruntukan khas kepada negeri yang terjejas akan disalurkan menerusi Majlis Agama Islam negeri itu.
“Susulan bencana banjir yang semakin teruk, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan menyalurkan sumbangan sebagai tanda keprihatinan untuk mangsa banjir.
“Peruntukan RM500,000 itu akan diagihkan menerusi Majlis Agama Islam yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Situasi banjir di Malaysia semakin teruk apabila Pahang menjadi negeri terbaharu yang ditimpa musibah itu.
Jumlah mangsa terkini yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah meningkat kepada 152,377 setakat pagi tadi.
Bilangan mangsa banjir yang ditemppatkan di 284 PPS di situ mencecah 96,743 orang daripada 29,928 keluarga setakat ini berbanding 93,158 orang malam tadi.
Manakala di Terengganu, jumlah mangsa semakin bertambah kepada 43,281 orang pada ini. Ini berbanding 41,409 yang dilaporkan malam tadi, membabitkan 11,679 keluarga yang berlindung di 305 PPS di kesemua lapan daerah terjejas di negeri berkenaan. – MalaysiaGazette