MUAR – Seorang juruteknik sebuah universiti awam di Pagoh dekat sini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol remaja Perempuan bawah umur dalam sebuah kereta pada pertengahan bulan lalu.
Tertuduh, Khairul Irsyad Khairuddin, 22, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, dia yang sudah bertunang didakwa merogol gadis berusia 15 tahun dalam sebuah kereta di hadapan sebuah rumah di daerah ini pukul 9 malam pada 15 November lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan juga sebatan jika sabi kesalahan.
Berdasarkan laporan dibuat, mangsa mengenali tertuduh melalui aplikasi mencari kenalan sebelum mereka bertemu.
Mangsa dibawa oleh suspek menaiki sebuah kereta sebelum berhenti di hadapan rumahnya sebelum merogol gadis berkenaan.
Selain merogol, suspek juga mengugut menyebar video lucah mangsa serta tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapapun termasuk ibu bapanya.
Kejadian terbongkar apabila mangsa membuat laporan polis selepas diugut tertuduh kerana mahu memutuskan hubungan selepas mengetahui lelaki itu sudah bertunang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Qurratul Aini Md Roslan.
Terdahulu pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin dengan alasan tertuduh tinggal berdekatan mangsa selain terhadap unsur ugutan diterima.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula pada 6 Januari ini untuk serahan dokumen.- MalaysiaGazette