KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mempertimbangkan penggunaan kod QR yang mengandungi maklumat peribadi dan butiran perjalanan pengembara bagi mempercepatkan proses pemeriksaan kaunter imigresen.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, inisiatif itu juga bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan pengurusan imigresen tetapi dapat mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kaunter.
“Antara kelebihan penggunaan kod QR adalah memendekkan tempoh ‘clearance’ kepada lima saat sahaja berbanding kaedah konvensional ‘auto-gate’ yang mengambil masa 15 hingga 30 saat.
“Pengembara hanya perlu imbas kod QR yang mengandungi maklumat peribadi serta butiran perjalanan mereka yang meningkatkan keselamatan dan mengurangkan kesesakan di pintu-pintu masuk negara terutamanya pada waktu puncak,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beiau menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang meminta KDN menyatakan langkah-langkah untuk menambah baik perkhidmatan dan bilangan mesin pengimbas pasport automatik di semua pintu tanah air untuk memudahkan urusan kemasukan pelancong asing.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar menambah, penggunaan kod QR juga akan diperluaskan di pintu-pintu masuk utama negara yang bersesuaian termasuk lapangan terbang antarabangsa yang lain selain di pusat pemeriksaan di sempadan darat dan laut.
Selain itu katanya, KDN sedang dalam perancangan membangunkan projek membina 33 lorong pemeriksaan motosikal tambahan di Kompleks Sultan Abu Bakar dan 44 lorong di Bangunan Sultan Iskandar.
“Pengembara yang menggunakan motosikal di Johor tidak perlu menanggalkan topi keledar bagi pemeriksaan imigresen selain kawalan T-zon dengan mukanya dapat dikesan dalam sistem yang lebih baik ini,” katanya.
Menjawab soalan tambahan RSN Rayer mengenai dakwaan ada petugas Imigresen menjual pembalut plastik pasport di kaunter memperbaharui pasport dengan harga RM5, Shamsul Anuar berkata, ia terserah kepada pelanggan untuk membuat pilihan.
Dakwaan itu dilaporkan akhbar berbahasa Inggeris bertajuk ‘Student claims immigration officer demanded RM5 when collecting new passport’ bertarikh 30 November lalu. – MalaysiaGazette