Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi membela diri berhubung kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 2 DISEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau pernah memaklumkan kepada pasukan siasatan bahawa wang RM60.6 juta yang menjadi pertikaian dalam siasatan terhadapnya, didermakan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Bekas Perdana Menteri berkata, beliau percaya wang yang dihantar oleh Putera Faisal bin Turki bin Bandar Al-Saud adalah sumbangan Almarhum Raja Abdullah daripada dana baginda atau kerajaan berkenaan.

Ketika ditanya asas kepada kepercayaan tersebut, Najib berkata, sebelum kiriman wang itu, beliau dimaklumkan sendiri oleh Raja Arab Saudi, Raja Abdullah dalam satu majlis persendirian pada 2010.

“Ketika itu baginda menyampaikannya melalui jurubahasa, niatnya untuk menyokong saya dari segi kewangan yang mana saya kemudian menerima kiriman wang daripada Riyadh Bank Saudi Arab.

“Saya juga telah menerima surat pengesahan Arab Saudi bahawa derma itu daripada Raja Abdullah melalui wakil dirajanya yang kemudian dipanjangkan kepada AmBank dan Bank Negara.

“Pada pertemuan dengan Raja Abdullah, saya diberitahu secara khusus bahawa saya akan dibantu dalam Pilihan Raya Umum) untuk memastikan bahawa saya akan dikembalikan sebagai Perdana Menteri kepada kerajaan hari ini. Saya faham ini
bantuan kewangan.

“Kemudian, pada tarikh yang berbeza, saya dimaklumkan oleh Jho Low (Low Taek Jho) bahawa Raja Abdullah akan menderma AS$1 Bilion,” ujar beliau.

Najib selanjutnya berkata, beliau kemudian membuka akaun di AmIslamic Bank Berhad atas cadangan setiausaha sulitnya (ketika itu) untuk menerima derma politik tersebut.

Najib, 71, menyatakan demikian ketika membaca pernyataan pembelaannya bagi menjawab empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB
dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Dalam jilid pertama pernyataan pembelaan setebal 335 muka surat, Najib turut berkata, beliau tidak dimaklumkan berhubung wang RM60.6 juta ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang dikaitkan dengan pertuduhan suapan yang dihadapinya.

Bekas Perdana Menteri berkata, ketika siasatan dijalankan, beliau juga tidak ditanya bagaimana wang itu mempunyai kaitan dengan jaminan kerajaan yang diberikan kepada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

“Saya masih ingat saya telah dirujuk kepada satu siri Slip Kiriman Wang Ambank yang saya lihat kali pertama ketika rakaman percakapan.

“Namun saya tidak diberitahu bagaimana kaitan kiriman wang tersebut kepada mana-mana dakwaan penyalahgunaan jawatan yang dikatakan dilakukan oleh saya.

“Semasa penyiasatan, saya hanya membaca dengan kuat butiran seperti yang dipaparkan mengenai dokumen dan tiada penjelasan lanjut diminta daripada saya oleh pegawai perakam.

“Proses penyiasatan tidak pada bila-bila masa memaklumkan kepada saya tentang jumlah yang berkaitan dengan RM60,629,839.93,” ujarnya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here