KUALA LUMPUR – Pelantikan Khalid Samad sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) berupaya memperkaskan sektor pertanian.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yang mengucapkan tahniah kepada atas pelantikan itu berkata, Khalid boleh memainkan peranan penting dalam sektor itu khususnya di Kelantan.
Tambah Mohamad, pelantikan Khalid mencerminkan kepercayaan terhadap kepimpinan, pengalaman serta komitmen beliau dalam memimpin serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
“Bang Mat yakin dengan kewibawaan dan visi Tuan Haji Khalid, Kada akan terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan sektor pertanian, khususnya di Kelantan, demi manfaat para petani dan masyarakat keseluruhannya.
“Pada masa yang sama, Bang Mat juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berbahagia Ustaz Muhammad Husain atas segala jasa, usaha, dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi KADA.
“Semoga segala sumbangan beliau menjadi amal jariah yang berpanjangan dan diberkati oleh Allah SWT. Buat Tuan Haji Khalid Samad, selamat bertugas,” katanya dalam kenyataan.
Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah akan menggantikan bekas pengerusi PH Kelantan, Muhammad Husain yang menggalas jawatan itu sejak Mei tahun lalu.
Kada merupakan agensi di bawah Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan yang bertanggungjawab memajukan dan menggalakkan pembangunan ekonomi dan sosial golongan petani di kawasan Kemubu di Kelantan.
Ia berfungsi meningkatkan taraf sosio-ekonomi petani dan pengeluaran makanan negara.
Muhammad menggalas jawatan itu sejak 15 Mei tahun lalu bagi menggantikan penyandang terdahulu yang juga Pengerusi Bersatu Kelantan, Kamaruddin Md Noor.-MalaysiaGazette