KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) bakal bekerjasama dengan TikTok Malaysia untuk membantu usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, kerjasama itu diharapkan dapat memperkasa dan meningkatkan lagi jualan usahawan kecil.
“Salah satu agensi di bawah Kuskop, TEKUN Nasional akan membina satu studio siaran langsung di TEKUN Sabah dan Sarawak dengan bantuan Tiktok Malaysia.
“Pembinaan studio yang dijangka dilancarkan Februari tahun depan itu juga diharap dapat membantu usahawan memasarkan produk dan perkhidmatan mereka secara atas talian,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hab PKMS juga akan ditubuhkan di Sabah dan Sarawak.
“Saya berharap Yayasan Bank Rakyat (YBR) akan terus memberi dana untuk membiayai yuran kursus di Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken).
“Bagi penerima sijil Insken, kementerian akan menyerahkan nama mereka kepada agensi pembiayaan di bawah kementerian untuk membantu mereka mendapat dana mengembangkan lagi perniagaan,” tambahnya.
Menerusi Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan Program INSKEN Start-Up Coaching, KUSKOP telah berjaya membantu 144 orang usahawan meningkatkan hasil jualan sebanyak RM4.3 juta.
“Sebanyak 87 peluang pekerjaan baharu juga telah diwujudkan, sembilan perniagaan berjaya tukar status mikro kepada kecil dan 321 peratus peningkatan skor diagnostic.
“Bagi Program IBBC, setiap RM1 yang dibelanjakan ketika menjalankan program ini, ia memberi pulangan sebanyak RM6.70 kepada ekonomi negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette