BALIK PULAU – Polis berjaya mengagalkan cubaan seorang lelaki Indonesia menyeludup keluar lebih 12 kilogram (kg) syabu, ganja serta methylenedioxymethamphetamine (MDMA) ke negaranya melalui jalan laut.
Serbuan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya membawa kepada tangkapan suspek berusia 29 tahun.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek ditahan jam 8.30 pagi bersama beg yang mengandungi pelbagai jenis dadah bernilai RM217,424 ketika hendak menaiki bot untuk pulang ke Indonesia di sebuah jeti di Teluk Bahang di sini.
“Hasil siasatan mendapati suspek memasuki negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu dan ini merupakan cubaan pertama menyeludup keluar dadah.
“Suspek juga menerima upah RM2,800 bagi sekilo dadah yang dibawanya selain telah membayar RM3,000 kepada pemandu bot warga tempatan untuk membawanya ke perairan sempadan negara.
“Saringan air kencing ke atas suspek negatif dan dia juga tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini, hari ini.
Tambah Sazalee, siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette