Mohd Fared menyampaikan bantuan MAINJ kepada mangsa terlibat kebakaran di PPS Balai Raya Bukit Kuari di Semarang, Batu Pahat hari ini.

BATU PAHAT – Nasib lapan keluarga mangsa kebakaran di Kampung Parit Lapis, Semarang di sini semalam mendapat perhatian Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

MAINJ akan membantu semua mangsa yang terlibat dalam kebakaran itu bagi memudahkan mendapatkan kediaman termasuk membina rumah baharu sekiranya memenuhi kriteria ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, semua lapan keluarga itu kini dikatogarikan sebagai asnaf yang membolehkan mereka layak untuk mendapatkan bantuan MAINJ.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, antara syaratnya adalah jika mangsa mempunyai tanah sendiri atau mempunyai kebenaran menduduki daripada pemilik tanah asal, bantuan membina rumah baharu akan diberikan.

“Hari ini, kita datang untuk menyalurkan bantuan awal bernilai RM1,000 kepada setiap keluarga terlibat selain bantuan daripada ADUN Semarang, Datuk Samsolbari Jamali untuk meringankan beban mangsa.

“Kita juga sudah berbincang untuk mencari satu alternatif bersesuaian untuk membolehkan keluarga terlibat ini mendapatkan kediaman sementara bantuan lain dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan kepada keluarga terbabit terlibat di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Bukit Kuari, Semarang di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi itu, seramai 33 penghuni daripada lapan keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa mereka terbakar.

Mengulas lanjut, Mohd Fared melahirkan rasa terima kasih kepada semua agensi kerajaan terlibat yang telah bertindak pantas dengan sebaiknya membantu semua mangsa terlibat.

Pihaknya yakin semua mangsa akan diberikan bantuan sewajarnya oleh kerajaan negeri termasuk bantuan tambahan yang akan disalurkan kemudian.

Dalam pada itu, Samsolbari berkata, tindak balas daripada semua pihak termasuk dalam kadar segera selepas kejadian membolehkan mangsa terlibat ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang lengkap dengan bekalan makanan dan minuman.

“Semua ini dilakukan atas dasar keperihatinan semua pihak yang komited untuk membantu mangsa ditimpa bencana,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here