KUALA LUMPUR – Perdana Menteri berkata, Malaysia perlu menggunakan semua platform sama ada peringkat rantau ini atau antarabangsa untuk menyuarakan isu-isu yang menjadi kebimbangan dunia dengan pihak-pihak berkepentingan.
Bagaimanapun, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, komitmen ke arah perubahan ketidakstabilan itu hanya akan menjadi retorik semata-mata sekiranya gagal diterjemahkan kepada tindakan konkrit.
Jelas beliau, kejadian seperti keganasan yang dilakukan terhadap sesebuah negara yang menyebabkan rakyatnya menderita, jutaan manusia yang terperangkap dalam kemiskinan dan bencana alam yang mengancam komuniti adalah contoh kegagalan dasar dan moral yang menuntut tindakan segera.
“Masa untuk bertindak secara tidak matang dan perubahan secara beransur-ansur sudah berlalu. Pilihan di hadapan kita jelas, sama ada meneruskan sistem yang meminggirkan sebahagian besar umat manusia atau membina satu orde baharu berasaskan perkongsian tulen, kemakmuran bersama dan pembangunan mampan.
“Kita mesti bertindak dengan berani untuk mencipta masa depan yang sangat diperlukan oleh dunia kita,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Tindakan Bersama (CAF) 2024 anjuran Khazanah Research Institute di sini hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Anwar berkata, terdapat empat perkara yang menuntut perubahan mendesak peringkat global antaranya arkitektur kewangan antarabangsa.
Jelas beliau, sistem kewangan dunia ketika ini menyaksikan negara-negara membangun menghadapi akses pasaran yang lebih buruk dan kos pinjaman yang lebih tinggi.
“Dalam waktu krisis, negara-negara ini bergelut untuk mendapatkan sumber dana (kecairan) yang penting, manakala pembayaran hutang menyebabkan sumber yang diperlukan untuk perkhidmatan awam yang penting dialihkan,” katanya.
Selain itu, Anwar turut menuntut perubahan adalah sistem perdagangan antarabangsa yang mana dunia masih menyaksikan amalan perdagangan yang tidak adil dan halangan bukan tarif yang menjejaskan negara-negara membangun di sebalik kewujudan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
“Sehubungan itu, saya sekali lagi menegaskan perdagangan antarabangsa bukan sahaja perlu bebas tetapi juga mesti berperikemanusiaan dan adil,” katanya.
Tambah Anwar, aspek lain yang turut menuntut perubahan adalah sistem keadilan dan kewangan ke arah memberi keadilan kepada negara-negara membangun mendepani ancaman perubahan iklim dan keluar dari kemiskinan.
Aspek terakhir, jelas beliau, adalah perubahan strukrur tata kelola Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disifatkan lapuk dalam proses membuat keputusan sehingga dilihat gagal dalam melaksanakan mandat seperti dipertanggungjawabkan.
Tegas beliau, kuasa veto yang diamalkan dalam PBB melumpuhkan badan dunia itu manakala kekurangan wakil dari wilayah seperti Afrika dan Amerika Latin disifatkan sudah ketinggalan zaman.
“Sehingga kuasa veto dapat dimansuhkan, kita mesti menetapkan peraturan yang jelas untuk mengawal penggunaannya.
“Kuasa veto harus diharamkan dalam kes kekejaman besar-besaran memerlukan sokongan yang lebih luas daripada kedua-dua anggota tetap dan tidak tetap PBB serta tertakluk kepada pengesahan oleh Perhimpunan Agung melalui majoriti mudah.
“Inilah cara kita bergerak ke arah sistem yang lebih adil dan bertanggungjawab iaitu sistem yang mendukung keadilan dan tindakan,” katanya. – MalaysiaGazette