KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memiliki sistem amaran awal banjir pada tahap baik dan berkesan untuk mengenal pasti bencana berkenaan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sistem itu akan membolehkan MetMalaysia mengeluarkan amaran tujuh hari sebelum episod hujan lebat di Pantai Timur berlaku.
“MetMalaysia dalam kenyataannya pada 19 November lalu menjangkakan luruan monsun kuat menyebabkan hujan lebat akan berlaku di Pantai Timur.
“Kita tidak menjangkakan hujan ekstrem seperti yang berlaku pada 2014 namun ia berlaku (taburan hujan) ekstrem seperti 2014,” katanya.
Beliau berkata demikian menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mengenai sistem penyampaian mesej cuaca, Nik Nazmi berkata, MetMalaysia sudah diarahkan untuk memastikan perkara itu dapat disampaikan kepada masyarakat dengan lebih meluas.
“Justeru, saya dalam pertemuan bersama MetMalaysia pagi tadi minta mereka ambil perhatian mengenai pendekatan menerangkan atau penyampaian mesej cuaca dengan lebih baik kepada orang ramai.
“MetMalaysia juga bekerja secara langsung dan terbabit dalam memberi nasihat dan pandangan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk berdepan bencana.
“Malah dalam Jawatankuasa Cuaca Kering dan Panas Kebangsaan, MetMalaysia juga antara agensi di dalamnya dan memberikan pandangan ketika negara berdepan cuaca panas dan kering,” katanya.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, projek tebatan banjir kendalian MetMalaysia tidak membabitkan pembinaan infrastruktur yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) seliaan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Memperincikan perkara itu, katanya, projek peningkatan keupayaan model ramalan cuaca berangka dengan mengadaptasi teknologi sistem komputer berprestasi tinggi adalah antara projek dirangka dibawah pelaksanaannya.
“Ini membolehkan MetMalaysia menjangkakan risiko bencana cuaca 14 hari lebih awal berbanding tujuh hari ketika ini.
“Ia adalah antara input utama bagi model ramalan banjir negara dibangunkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara meliputi sistem amaran awal bencana lain seperti kejadian kepala air, tanah runtuh dan gelombang haba,” katanya. – MalaysiaGaazette