MELAKA – Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) akan memperluaskan program Relay For Life (RFL) di dua negeri lagi tahun depan berbanding tiga negeri tahun ini dalam usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap pencegahan penyakit kanser.
Pengarah Urusannya Prof. Madya Dr M. Muralitharan berkata, langkah ini dibuat selepas program kesedaran yang diadakan di tiga negeri iaitu Melaka, Perak dan Lembah Klang tahun ini berjaya mencapai matlamatnya terhadap penyakit yang boleh membawa maut itu.
“Justeru, mulai tahun depan kita akan memperluaskan lagi program RFL ini ke dua lagi negeri iaitu Johor dan Pulau Pinang.
“Sebenarnya, kalau ikutkan kita mahu kempen kesedaran ini diperluaskan ke seluruh negara yang masih dalam perancangan termasuk ke Pantai Timur serta Sabah dan Sarawak,* katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Relay For Life peringkat negeri Melaka di Kolej Universiti Manipal (MUC) di sini semalam.
Program itu dirasmikan oleh Pro Naib Canselor MUC, Professor Dr. Adinegara Lutfi Abas.
Hadir sama pada majlis itu, Presiden NCSM, Datuk Dr. S. Saunthari dan Pengarah syarikat Suria Harmony Resource, Mohd Fikri Mohd Ali yang turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada tabung NCSM.
Mengulas lanjut, Muralitharan berkata, program di luar kawasan Lembah Klang amat penting kerana tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kanser masih rendah.
“Statistik antara 2017 hingga 2021 menunjukkan berlaku peningkatan pesakit setiap tahun terutamanya dalam kalangan golongan muda berusia 30-an.
“Sebab itu kita akan terus mengambil inisiatif untuk turun ke akar umbi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pencegahan penyakit kanser yang berkait rapat dengan gaya hidup dan corak pemakanan yang kurang sihat,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd Fikri ketika ditemui berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu NCSM menjalankan pelbagai aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada pesakit dan pejuang kanser di negara ini.
“Sumbangan ini adalah salah satu tanggungjawab sosial syarikat terhadap pesakit yang berjuang melawan penyakit dihadapi,” katanya. – MalaysiaGazette