kenderaan kerajaan Malaysia CPI budaya politik imigresen sempadan rakyat rasuah
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpandangan operasi papan tanda yang hanya ‘eksklusif’ di Kuala Lumpur boleh mencetuskan persepsi tidak konsisten atau berat sebelah.

Sehubungan itu, Presiden MCW, Jais Abdul Karim menyeru supaya penguatkuasaan undang-undang kecil berkaitan papan tanda dikuatkuasakan secara berkala dan seragam di semua bandar utama seperti Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching, Miri, dan Kota Kinabalu.

Menurut beliau, tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam operasi baru-baru ini tertumpu kepada papan tanda berbahasa Cina meskipun dikatakan menyasarkan semua perniagaan, menimbulkan persoalan tentang keadilan penguatkuasaan.

Tambah beliau, masa operasi yang bertepatan dengan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan isu itu turut mencetuskan spekulasi sama ada tindakan terbabit dipengaruhi sentimen viral atau politik.

“Integriti memerlukan penguatkuasaan bebas daripada sebarang tekanan luar,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Jais mencadangkan satu platform Aduan Awam Online yang membolehkan masyarakat memuat naik gambar papan tanda yang tidak mematuhi peraturan ditubuhkan.

Kata beliau, aduan itu boleh dihantar terus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan pantas, sekali gus meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan ketelusan.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan pihak berkuasa menjalankan sesi penerangan dan dialog bersama peniaga bagi memastikan semua pihak memahami peraturan dan kepentingannya.

“MCW mencadangkan agar aduan awam yang tidak diambil tindakan dijadikan sebahagian daripada penilaian KPI agensi penguatkuasa PBT akan memastikan penguatkuasaan lebih responsif dan telus.

“Menegakkan keutamaan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan adalah penting, tetapi harus dilakukan dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk,” katanya.

Tambah Jais, MCW bersedia untuk bekerjasama dengan DBKL, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PBT lain dalam memberikan pandangan konstruktif serta solusi praktikal dalam isu terbabit.

Ujar beliau, pihaknya percaya pendekatan inklusif dan proaktif dapat memastikan penguatkuasaan yang selaras dengan prinsip integriti tanpa menggugat keharmonian masyarakat.

“MCW menyeru semua pihak untuk bersama-sama membina sebuah Malaysia yang adil, harmoni, dan penuh integriti,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing mencetuskan polemik selepas menyifatkan tindakan penguatkuasaan mengenai peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL menimbulkan rasa tidak puas hati serta wujud persepsi negatif dalam kalangan pelancong.

Tambah King Sing, tindakan itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

Terdahulu, media melaporkan DBKL minggu lalu, melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here