PUTRAJAYA – Penjawat awam yang menerima penyelarasan gaji penjawat awam melalui sistem saraan perkhidmatan awam (SSPA) berkuat kuasa bulan ini digesa mempertingkatkan prestasi masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gesaan itu bagi mencerminkan harapan masyarakat awam yang mahukan prestasi perkhidmatan awam ditingkatkan.
“Pelaksanaan SSPA bermula bulan ini, seperti yang dijanjikan. Tahniah kepada mereka yang menerima kenaikan gaji. Namun, seperti yang saya tekankan, kita setuju dengan ini (SSPA) kerana kita mengiktiraf dan menganggap ia wajar diberikan.
“Saya hanya mengharapkan semua penjawat awam memastikan prestasi masing-masing jauh lebih baik kerana rakyat megnharapkan sesuatu yang lebih baik,” katanya ketika berucap dalam majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITAPURI hari ini.
Hadir sama adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadhillah Yusof.
Beliau turut menyeru penjawat awam agar memberikan sokongan penuh kepada KSN yang telah mengambil beberapa langkah untuk merealisasikan reformasi perkhidmatan awam
“Saya harap penjawat awam beri sokongan penuh kerana orang awam mahu melihat di peringkat akar umbi di daerah, di kementerian.
“Jadi saya percaya dengan semangat ini walaupun prestasi baik tapi kita harus tingkatkan,” tambah beliau.
Pada 16 ogos lalu, Anwar mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus kepada kumpulan pelaksana manakala bagi pengurusan tertinggi penjawat awam menerima kenaikan gaji sebanyak tujuh peratus berdasarkan pelaksanaan SSPA.
Anwar turut menjelaskan pelarasan itu akan dilaksanakan secara bertahap dengan fasa pertama bermula 1 Disember ini manakala fasa seterusnya akan bermula 1 Januari 2026. – MalaysiaGazette