JASIN – Seorang penuntut universiti maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai terbabas sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan di Jalan Jasin-Merlimau di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, mangsa seorang penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Jasin, Muhammad Irfan Roslan, 20, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha NVX dalam perjalanan dari arah Merlimau menuju ke Jasin.
“Sebaik tiba di lokasi, motosikal mangsa dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 dipandu kontraktor berusia 39 tahun.
“Akibatnya penuntut universiti itu disahkan maut di lokasi oleh petugas perubatan dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette