Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 22 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR  – Sebarang perubahan terhadap kadar jualan air mentah berdasarkan Perjanjian Air Sungai Johor 1962 (Perjanjian 1962) perlu mempertimbangkan implikasi terhadap kos pembelian air terawat dari Singapura yang menjadi keperluan kritikal bagi Johor.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pertimbangan itu diambil kira kerana ia dibimbangi akan menjejaskan rakyat negeri itu yang bergantung kepada Singapura untuk mendapatkan bekalan air terawat.

Menurutnya, berdasarkan rekod Badan Kawalselia Air Johor (Bakaj), Johor membeli 16 juta gelen air terawat sehari iaitu melebihi kadar lima juta gelen yang diperlukan di dalam perjanjian tersebut.

“Penambahan jumlah air terawat yang dibeli itu menyebabkan kos tambahan sekitar RM180,000 setahun perlu ditanggung oleh Johor dan untuk mengurangkan kebergantungan kepada Singapura, projek Zero Dependency telah dirangka dan sedang dilaksanakan.

“Antaranya projek utama adalah pembinaan takungan air pinggiran sungai di Sungai Johor iaitu Sungai Lebak, bakaj di Sungai Sedili Besar serta pembinaan loji rawatan air seperti Loji Rawatan Air (LRA) Layang 2 dan Semangar 3.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang memintanya penjelasan adakah kerajaan akan berbincang dengan kerajaan Singapura untuk mengkaji semula Perjanjian 1962.

Hassan menyifatkan perjanjian tersebut tidak adil kerana membenarkan Singapura menerima 250 juta gelen air dari Johor sehingga tahun 2061 pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, sasaran untuk mencapai Zero Depedency menjelang 2030 mungkin tidak dapat direalisasikan sepenuhnya mengambil kira pertumbuhan sektor industri seperti pusat data dan semikonduktor.

“Oleh itu, bekalan air terawat daripada Singapura masih diperlukan untuk memenuhi keperluan air negeri Johor. Dalam hal ini, kerajaan terus mengutamakan rundingan dan pandangan pihak berkepentingan.

“Berdasarkan perbincangan pada Oktober lalu bersama Menteri Besar Johor dan kementerian diputuskan semakan kadar air mentah tidak perlu dirundingkan buat masa ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here