PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa syarikat-syarikat swasta bersama-sama dalam misi bantuan banjir di seluruh negara.
Perdana Menteri berkata, bantuan itu boleh disalurkan dalam bentuk dana mahupun jentera serta sokongan moral.
Setakat ini, katanya, syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bawah Khazanah Nasional Berhad, Petroliam Nasional Berhad (Petroliam) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) sudah mengerahkan semua syarikat di bawah mereka untuk membantu.
Bahkan, institusi perbankan tempatan juga sudah berbuat demikian.
“Saya seru sektor swasta yang lain turut tumpu perhatian sama ada memberi dana ataupun siapkan jentera.
“Dalam keadaan sekarang bukan sahaja dana tapi siapkan jentera biar setiap syarikat swasta dari Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang turun ke gelanggang untuk melihat masalah rakyat dan kemiskinan serta kesusahan mereka dengan penuh kesukaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITAPURI hari ini.
Hadir sama adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadhillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Moktar dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar dalam pada itu menzahirkan rasa syukur dengan persiapan negara dalam menghadapi bencana banjir.
Menurutnya, persediaan jentera Kerajaan Persekutuan termasuklah pihak berkuasa tempatan (PBT) dari negeri-negeri terjejas banjir amat luar biasa.
“Persiapan (menghadapi banjir) itu berbulan-bulan sebelumnya, jadi tidak terlalu sukar bila ada persiapan yang baik.
“Saya sangat terkesan semalam (dalam lawatan ke Terengganu) bersama KSN, Ketua Pengaran Nadma melihat sendiri tentang persiapan, saya sempat bertanyakan soal mutu makanan, keselesaan tempat, rawatan perubatan dan seluruh jentera. Saya syukur dan bangga dengan khidmat yang ditunjukkan,” katanya.
Semalam, ketika melawat keadaan banjir di Terengganu, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan RM50 juta bagi membantu mangsa banjir di negeri itu dan Kelantan susulan banjir yang serius di dua negeri berkenaan.
Beliau berkata, peruntukan tambahan segera disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) masing-masing RM25 juta untuk Terengganu dan Kelantan yang akan digunakan untuk membaiki infrastruktur asas seperti jalan dan pembentung termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut, Terengganu.
Kedua-dua negeri ini, masing-masing telah menerima RM50 juta, namun peruntukan tambahan diberikan susulan keadaan banjir yang lebih serius. – MalaysiaGazette