KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di kawasan-kawasan terlibat dengan bencana banjir akan memutuskan sama ada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 boleh diteruskan atau sebaliknya.
Perkara itu diberitahu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh apabila menyatakan, PPD merupakan pihak yang lebih mengetahui situasi di kawasan masing-masing.
“Pihak pengurusan KPM yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Nibong Tebal (Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek) telah mengadakan perbincangan dan mendapat pandangan dengan semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan PPD yang merupakan pihak yang terdekat dengan kawasan banjir dan tahu dengan keperluan banjir.
“Pihak KPM berpendidrian seperti dalam sidang akhbar yang telah dikendalikan oleh Menteri pada hari semalam. Pihak KPM akan memastikan calon-calon SPM ini bersedia dengan peperiksaan yang dijadualkan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ali Anak Biju (PN-Saratok) pada sesi jawab lisan, pada sesi pagi .
Semalam, Fadhlina pada sidang medianya dipetik berkata, KPM akan meneruskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM 2024 di semua negeri terjejas banjir termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah seperti yang dijadualkan bermula hari ini hingga Khamis, selepas mengambil kira nasihat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Katanya, keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai situasi Monsun Timur Laut (MTL) yang berkemungkinan berpanjangan sehingga Februari 2025.
Jelas beliau, KPM sedia melaksanakan peperiksaan dalam situasi banjir berdasarkan kepada prosedur operasi standard Ops Payung dan Pelan Tindakan Menghadapi MTL.
Tambah beliau, KPM juga bekerjasama dengan agensi seperti Nadma, Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk memastikan peperiksaan SPM berjalan lancar. – MalaysiaGazette