IPOH – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria tampil memohon maaf kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad atas ucapannya dalam perhimpunan di Menara Condong di Teluk Intan pada Oktober lalu.
Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, sebaliknya ucapan beliau sebagaimana dalam video tular itu berkata ia dipetik di luar daripada konteks asal.
“(Kenyataan saya) itu diambil daripada luar konteks. Saya ucapkan terima kasih (kepada menteri besar tetapi) kalau (beliau) terasa dengan ucapan saya, saya minta maaf.
“Sebab beliau sahabat saya dan saya tahu (ilmu) agama beliau tinggi. Saya pernah minta bantuan untuk maahad tahfiz, beliau luluskan. (Malah ada juga) saya minta untuk diberikan kenderaan rasmi baharu ketua pembangkang. Di mana hendak cari menteri besar seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Perbahasan Belanjawan Negeri Perak 2025 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.
Terdahulu berlaku sedikit ketegangan ketika sesi berkenaan apabila Razman membangkitkan isu pengibaran bendera China oleh warga negara itu ketika sambutan Guan Gong Sedunia di Menara Condong di Teluk Intan, Oktober lalu.
Ketengangan berlaku kira-kira 10 minit selepas Razman mahu isu berkenaan untuk disiasat dengan lebih mendalam kerana mendakwa individu mengibarkan bendera negara China itu merupakan warga tempatan.
“Kalau nak maklumat, saya boleh bagi untuk membuktikan bahawa yang mengibarkan itu adalah Cina Malaysia dan bukan warga China.
“Kita telah buat siasatan nama-nama ini merupakan orang tempatan. Saya minta pihak polis ambil bukti ini untuk kita sahkan dan kita boleh buat persidangan lain. Sekiranya saya salah, saya akan tarik balik (kenyataan saya),” katanya lagi.
Jason Ng Thien Yong (PH-Astaka) kemudian bangun dan mendesak agar Razman segera mengemukakan bukti dakwaan beliau itu dalam dewan.
“Jika Gunung Semanggol kata sayang kepada menteri besar, mengapa kata menteri besar biadab? Sayang seperti itu ke?” soalnya sebelum Razman mengulangi jawatan bahawa ia dipetik di luar konteks.
Selain itu beberapa ADUN antaranya, Ong Boon Piow (PH-Bercham), Steven Tiw Tee Siang (PH-Tronoh), Wong May Ing (PH-Pantai Remis) dan Jenny Choi Tsi Jen (PH-Canning) juga bangun meminta kenyataan Razman itu ditarik balik.
Bagaimanapun, Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak enggan berbuat menarik kenyataan beliau dan sedia diambil tindakan sekiranya dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak.
“Saya hendakkan keadilan kerana nama saya disebut sebagai perkauman dan saya hendak memohon maaf kepada sahabat saya Menteri Besar Perak. Beliau adalah sahabat saya, beliau juga orang kampung saya,” ujarnya.
Speaker DUN, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid kemudian meminta agar Razman tidak keluar daripada topik perbahasan belanjawan negeri.
Pada Pembentangan Belanjawan Negeri Jumaat lalu, Saarani berkata, ada pihak yang tidak melihat kejayaan-kejayaan yang dicapai kerajaan negeri selama ini sebagai suatu kebaikan.
Malah Saarani turut menzahirkan kekesalan apabila beliau juga dilabel dengan cacian ‘MB biadab’, seolah-olah sedang melakukan penindasan dan penganiayaan ke atas rakyat.
“Tetapi saya tidak berniat menjadikan dewan mulia ini untuk membalas keji dan cacian.
“Kerana dalam perjalanan hidup, saya belajar bahawa maruah seorang pemimpin tidak terletak pada kekuatan membalas cacian, tetapi kepada keupayaan untuk tetap berdiri teguh memikul amanah dengan keinsafan dan keikhlasan,” kata Saarani. – MalaysiaGazette