SHAH ALAM – Entiti perniagaan sektor peruncitan, RisSMart yang beroperasi 24 jam ditubuhkan berikutan banyak produk keluaran usahawan pekebun kecil dibawah RISDA tidak diletakkan setara dengan produk lain.
Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, RisSMart24 akan menjadi tempat bagi mengetengahkan produk usahawan luar bandar ke pasaran komersial.
“Terdapat beberapa outlet yang tidak berkenan untuk memasarkan produk-produk pekebun kecil ini kalau ada pun mereka terpaksa-rela menjual barangan itu.
“Mereka menempatkan produk tempatan ini rak-rak yang bukan utama di premis jualan tertentu, bukan paras eye level menyebabkan pelanggan tidak mengetahui kewujudan barangan itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian RissMaat 24 dan Pelancaran Syiling Jubli emas RISDA, di sini hari ini.
Tambah Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, beliau juga berharap RisSMart24 turut memasarkan produk keluarkan usahawan dari KKDW serta MARA.
“Saya telah berbincang bersama Ketua Pengarah RISDA, maka saya harap bukan hanya memasarkan produk yang dilkeluarkan oleh usahawan RISDA sahaja.
“Sebaliknya turut dipasarkan produk keluaran usahawan anak syarikat dibawah KKDW dan MARA, termasuklah produk-produk usahawan Orang Asli dalam RisSMart ini,” ujarnya.
RisSMart24 telah mula beroperasi pada September lalu dengan lima cawangannya di sekitar Lembah Klang dan menyediakan hampir 4,000 jensi produk.
Sebanyak 164 produk hasil usahawan bimbingan RISDA turut menjadi barisan produk di setiap cawanan yang diuruskan oleh Kumpulan RISDA Holdings.
Menurut pihak berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), pihaknya menyasarkan penambahan enam lagi cawangan RisSMart di kawasan statergik.
Ia bagi memperluaskan jaringan dan capaian pelanggan bagi mendapatkan variasi produk yang disediakan oleh para usahawan tempatan negara. – MalaysiaGazette