SHAH ALAM – Polis melupuskan pelbagai barangan kes melibatkan barangan kes am, kontraban, perjudian dan kain rentang serta cakera padat video (VCD) bernilai RM750,000.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ia merupakan pelupusan kali ketiga tahun ini yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polsi Daerah (IPD) Shah Alam.
“Pelupusan ini turut melibatkan 282 kertas siasatan dan barangan kes bagi tempoh empat tahun sejak 2021 hingga kini.
“Ia membabitkan 730 buah mesin bitcoin, 150,000 botol arak, 100,000 tin arak, 500,000 batang rokok, 3,790 banner dan 6,251 VCD.
“Kita turut melupuskan topi keledar, parang, telefon bimbit, kabel Telekom Malaysia, “ katanya dalam sidang media di IPD Shah Alam hari ini.
Ia turut dihadiri Hakim Penyelia Jenayah Mahkamah Negeri Selangor, Rasyihah Ghazali dan Majistret Mahkamah Shah Alam, Muhammad Syafiq Sulaiman.
Tambah Mohd Iqbal, bagi kes kontraban seperti rokok dan arak tidak bercukai, tindakan diambil mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
Bagi kes along katanya, tindakan rampasan dibuat hasil rondaan anggota peronda yang mengesan aktiviti mempromosi pinjaman wang haram dengan memasang kain rentang yang dipasang individu di sekitar daerah ini.
Susulan itu, beliau menegaskan kepada masyarakat yang mempunyai maklumat berhubung sebarang kes jenayah digesa salurkan di mana-mana balai berhampiran untuk tindakan lanjut pihak polis. – MalaysiaGazette