Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menunjukkan kesetiaannya yang tinggi kepada UMNO apabila pernah menolak menjadi calon parti lain pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Tajuddin ketika itu boleh mengekalkan kemenangan di parlimen itu sekiranya beliau menerima tawaran daripada Pas untuk mewakili parti berkenaan.

Namun jelas beliau, bekas ahli MKT UMNO itu tetap memilih kekal bersama UMNO yang menunjukkan kesungguhannya untuk terus bersama parti.

“Mereka semua ini kawan-kawan kita dulu. Saya sendiri ditemui Datuk Seri Tajuddin, anak dan menantunya. Memang (beliau) bersungguh.

“Satu lagi, kesetiaannya pernah ditawarkan oleh parti lain untuk jadi calon tetapi dia tolak sebab itu cukup menarik kalau pergi tanya beliau dan memang sah dia setia dengan UMNO.

“Kalau hari itu bertanding di Parlimen Pasir Salak, dia akan menang atas parti Pas tetapi dia tidak mahu. Itu penting dan kesetiaannya kita nilai,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam Kelab Sahabat Setia Kelana Jaya di sini malam tadi.

Ahmad Maslan menghadiri Majlis Makan Malam Kelab Sahabat Setia Kelana Jaya di sini malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, MKT UMNO menarik semula penggantungan keahlian Tajuddin sebagai ahli parti kerana kesungguhan beliau untuk kembali kepada parti itu.

Beliau  berkata, ia dibuktikan apabila bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu tidak putus asa apabila menghantar surat rayuan sebanyak empat kali kepada MKT UMNO.

Pada masa sama, tambah Ahmad Zahid, Tajuddin juga sanggup turun berkempen untuk UMNO pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri dan Mahkota sebelum ini.

Mengulas lanjut, Ahmad memberitahu, UMNO perlu bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan bagi mendapat sokongan lebih kuat bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Jelas beliau, UMNO kini tidak boleh semata-mata mengharapkan undian daripada ahlinya seramai tiga juta sedangkan pengundi berdaftar sudah mencecah 21 juta orang ketika ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here