Mohd Sohami menunjukkan dadah dalam bentuk serbuk yang diisikan dalam peket ubat cirit birit, selepas sidang akhbar di IPD Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini

PASIR GUDANG – Menjual dadah dalam bentuk serbuk yang diisikan dalam peket ubat cirit birit bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Itu antara modus operandi satu sindiket mengedar dadah yang terbongkar selepas pihak polis menahan sepasang kekasih di sebuah taman di Seri Alam di sini pada 28 November lalu.

Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam melakukan serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat yang disewa di taman tersebut pada pukul 10 malam 28 November hingga pukul 4 pagi 29 November lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, rumah tersebut dijadikan sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan kepada penagih.

“Menerusi serbuan ini seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 43 dan 27 tahun ditahan. Kedua-duanya tidak bekerja dan mereka merupakan pasangan kekasih.

“Hasil saringan urin mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Seri Alam di sini hari ini.

Katanya, pihak polis merampas 474 gram (g) ketamin bernilai RM41,000; 295g pil ekstasi (RM14,750); 397g serbuk ekstasi (RM3,000) dan 215g pil eramin 5 (RM4,300).

Beliau memberitahu, jumlah nilai rampasan dadah tersebut RM63,050 manakala dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 5,392 penagih.

Menurutnya, polis percaya sindiket tersebut mendapatkan bekalan dadah dari sekitar Johor Bahru.

Selain itu, katanya, turut dirampas sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kelabu bernilai RM12,000.

Mohd Sohaimi memberitahu, semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau berkaitan dadah atau jenayah.

“Mereka direman selama lima hari bermula 29 November lalu hingga esok untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan juga boleh dikenakan sebatan,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya sedang mengesan dalang dan ahli sindiket terbabit yang masih bebas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, bermula 1 Januari hingga 30 November lalu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Seri Alam sudah menangkap 19,909 orang atas pelbagai kesalahan dadah.

Ujarnya, dalam tempoh sama pihaknya berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 142,501.96g.

“Keseluruhan dadah yang dirampas itu bernilai RM5.91 juta. Turut disita harta sindiket bernilai RM4.23 juta,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here