KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan tindakan pihaknya menyita akaun bank Bersatu dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang.
Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, ia tidak dilakukan sewenang-wenangnya.
“Sitaan akaun bank Bersatu adalah tertakluk kepada Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLAFTPUAA) 2001.
“Sitaan akaun bank tersebut adalah kerana ia subject matter kepada siasatan serta pendakwaan, dan oleh yang demikian ia tidak boleh dilepaskan sehingga selesai perbicaraan.
“Seksyen 50(1) adalah berkenaan dengan ‘Penyitaan harta alih dalam institusi kewangan’ dan dalam kes ini mengikut Seksyen tersebut, Pendakwa Raya (DPP) telah menggunakan kuasanya untuk mengarahkan supaya harta alih di institusi kewangan itu disita serta mengarahkan institusi kewangan itu supaya tidak melepaskan atau melupuskan harta alih yang terbabit sehingga perintah itu diubah atau dibatalkan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian sebagai respons berhubung kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu mempertimbangkan untuk menyaman SPRM berhubung pembekuan akaun bank Bersatu.
Sehubungan itu, menurut Wan Shaharuddin, tempoh perintah penyitaan yang dibangkitkan itu adalah jelas dinyatakan dalam Seksyen 52A dalam Akta yang sama.
Ia menyatakan sesuatu perintah penyitaan yang dibuat di bawah akta itu hendaklah terhenti berkuat kuasa selepas tamat tempoh 12 bulan dari tarikh perintah penyitaan sekiranya orang yang terhadap perintah itu tidak dipertuduh dengan suatu kesalahan di bawah akta yang sama.
“Adalah jelas, kes ini telah mendapat izin mendakwa dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu telah dipertuduh di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
“Bagaimanapun, pihak Bersatu telah pun memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan SPRM menyita akaun banknya untuk siasatan pada 29 Mei 2023 dan pada 30 Oktober 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah pun membenarkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman Bersatu tersebut serta menetapkan tarikh perbicaraan pada 24 September 2025.
“Saya berharap orang ramai memahami segala tindakan pihak berkuasa dalam pendakwaan kes ini adalah tertakluk kepada peruntukan akta dan bagi orang yang dituduh segala peluang untuk membela diri serta membuktikan dirinya tidak bersalah juga ada tempatnya di sisi undang-undang,” ujarnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Bersatu pertimbang saman SPRM, tahan akaun bank lebih 12 bulan – Muhyiddin