ISKANDAR PUTERI – Polis menahan seorang tokan dadah yang bergerak sendirian dalam satu operasi sekitar Mutiara Rini di sini minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, suspek lelaki warga tempatan berusia 33 tahun itu ditahan pukul 2 petang pada 28 November lalu.
“Suspek merupakan seorang penganggur yang berasal dari Pontian dipercayai sudah menjalankan kegiatan mengedar dadah itu sejak Julai tahun lalu.
“Suspek mengedar dadah untuk pelanggan-pelanggan tertentu dan untuk di pusat-pusat hiburan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.
Menurut Kumarasan, ketika tangkapan dibuat, pihaknya merampas 3,115 gram serbuk ekstasi, 9.9 gram ketamin, 1.4 gram syabu, 4.2 gram pil ekstasi dan 1.14 gram pil erimin 5.
Katanya, semua dadah yang dijumpai dalam beg sandang suspek itu bernilai RM523,039 dan boleh digunakan oleh 3,500 penagih dadah jika terlepas ke pasaran.
“Kita percaya dadah-dadah ini adalah untuk diedar bagi pasaran berdekatan termasuk Iskandar Puteri dan Johor Bahru,” katanya.
Kumarasan berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.
“Suspek kini ditahan reman lima hari bermula 29 November lalu hingga esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- MalaysiaGazette