Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohammad

PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjangka lima lagi siri hujan lebat akan melanda ekoran kejadian musim banjir Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

Ketua pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pasukannya sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan selepas ini walaupun keadaan terkini banjir di lapan negeri menunjukkan trend penurunan kecuali di negeri Perak.

Di Perak, katanya, situasi banjir menunjukkan kenaikan mendadak bermula semalam.

“Negeri lain ada menunjukkan penurunan, maksudnya ada juga yang tak berubah tetapi menunjukkan lonjakan kepada jumlah mangsa terjejas.

“Maka bomba dalam proses membantu mangsa-mangsa yang ada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lapan negeri (trend banjir menurun) untuk kembali ke lokasi rumah mereka masing masing.

“Kedua, berlaku lonjakan permohonan kepada masing-masing yang tidak berpindah untuk mendapatkan rawatan khususnya semalam sahaja kita menerima sembilan perkhidmatan kesihatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini.

Justeru Nor Hisham turut mengingatkan pada asasnya pihaknya menjangkakan enam siri hujan lebat berlaku selepas ini walaupun banjir menunjukkan trend menurun di lapan negeri.

“Ini baru siri pertama, mungkin ada empat hingga lima siri hujan lebat lagi kerana kalau ikut rekod lama hujan lebat dan banjir buruk di Sri Muda, Shah Alam, Kemaman (Terengganu), Kuala Krai (Kelantan) berlaku pada 18 Disember ini sebelum terjadi air pasang besar pada 25 Disember.

“Berdasarkan rekod lampau ini, kita beri penegasan kepada pegawai dan anggota peringkat bawah supaya jangan terlalu selesa dan sentiasa bersedia hadapi sebarang kemungkinan selepas ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nor Hisham turut menjelaskan pemerhatian beliau selepas turun meninjau situasi banjir dan misi SAR anggota di lapangan telah mengenal pasti beberapa cabaran untuk pasukannya.

“Cabarannya banyak tetapi paling saya cukup khuatir kali ini pertamanya jalan yang terputus di kebanyakan tempat akibat banjir sekaligus mengganggu pergerakan kita di lapangan.

“Kalau kita tengok trend banjir di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Besut di Terengganu yang mana 11 bahagian di kawasan berkenaan sebelum ini tidak pernah terlibat banjir agak dalam sebegini.

“Jadi, penduduk di kawasan ini yang pada awalnya sangat yakin air tidak akan sampai ke dalam rumah, kini naik secara mengejut sejak dua hari lepas menyebabkan bomba buat operasi pada waktu malam memindahkan mereka dan memang menyukarkan sesiapa pun yang ada di situ,” tegasnya.

Menurutnya, secara keseluruhannya sejak 5 November hingga Ahad semalam, JBPM menggerakkan seramai 7,632 anggota untuk menangani pelbagai insiden termasuk mengeluarkan mangsa banjir dan tanah runtuh.

Malah, katanya, secara keseluruhannya sebanyak 2,510 operasi pemantauan, 653 opersi pemindahan mangsa dilaksanakan membabitkan sembilan negeri yang dilanda banjir MTL kali ini.

“Walaupun yang berpindah membabitkan lebih 140,000 orang mangsa banjir, yang kita bantu keluarkan dari rumah dan hantar ke PPS adalah seramai 4,978 orang setakat ini.

Selain itu, sebanyak 450 aset marin selain 350 buah kenderaan terdiri daripada lori, van, kenderaan pacuan empat roda turut digerakkan di lapangan untuk melancarkan lagi misi bantuan,” ujar Nor Hisham. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here