Gobind (tengah) diberi penerangan tentang teknologi AI elepas menyempurnakan Majlis Perasmian Tranformasi Pembuatan Dengan Teknologi 5G dan Kecerdasan Buatan (AI) di Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 17.5 juta pelanggan sudah menggunakan perkhidmatan rangkaian Internet 5G setakat ini di seluruh negara.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, jumlah pengguna itu membabitkan kawasan capaian 5G melebihi 82 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara.

Perkembangan tersebut menunjukkan adanya tarikan perkhidmatan berkenaan selepas kementerian itu menerusi Digital Nasional Berhad (DNB) menyediakan infrastruktur 5G.

“Kita mahu pastikan bahawa infrastruktur itu selamat, contoh kita nak minta rakyat Malaysia gunakan platform tersebut untuk memperkukuhkan perniagaan mereka.

“Namun dalam masa sama, kita kena pastikan platform itu dalam keadaan selamat daripada segi penggunaan data, keselamatan siber dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Tranformasi Pembuatan Dengan Teknologi 5G dan Kecerdasan Buatan (AI) di sini hari ini.

Sementara itu, Gobind memaklumkan kementeriannya tidak meletakkan sebarang had untum pembinaan pusat data di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, setiap permohonan pembukaan industri itu diteliti secara rapi.

“Ini kerana pada masa depan kita bukan hanya mahu pusat data tetapi pusat data berteknologi AI. Kita juga perlu melihat keperluan pusat data khususnya aspek kelulusan tanah, selain bekalan tenaga dan air yang diperlukan.

“Kerajaan negeri juga banyak membantu mempermudahkan proses-proses terlibat.

“Pelaburan pusat data melalui satu proses rapi bagi memastikan,sementara nak tarik pelabur kita juga mahu pastikan bahawa sumber yang cukup untuk tampung keperluan apabila pusat data datang dan beroperasi kelak,” katanya.

Pada 29 Oktober lalu, Gobind dilaporkan berkata, Johor kini merupakan hab pusat data Malaysia apabila terdapat lebih daripada 50 pusat data yang sedang dalam permohonan, dalam pembinaan atau sudah beroperasi.

Pihaknya juga menjangkakan jumlah tersebut akan terus bertambah selari dengan pelaksanaan inisiatif ekonomi berimpak tinggi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here