Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Foto: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa dukacita dengan penderaan sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Baginda bertitah, semua pihak mesti berusaha menghentikan budaya tidak sihat itu dan memulihkan nama baik UPNM.

“Bagi melahirkan seorang pegawai tentera, memang memerlukan latihan fizikal dan mental yang keras. Tetapi ini tidaklah sampai mendera sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.

“Saya percaya ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera, bukan untuk didera,” titah Sultan Ibrahim pada Istiadat Konvokesyen Ke-14 UPNM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) seperti yang turut disiarkan menerusi laman sosial Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, lebih mendukacitakan apabila kejadian penderaan terus berlaku, seperti tiada usaha yang serius diambil oleh mana-mana pihak walaupun kejadian sebelumnya telah dibawa ke mahkamah.

“Falsafah utama UPNM ialah untuk menjadi sebuah universiti utama di rantau ini dalam bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan. Disiplin dan budaya tentera adalah menjadi falsafah utama universiti ini.

“Jika penderaan terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi. Panglima dan Komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah,” titah baginda.

Media sebelum ini melaporkan beberapa kes dera yang berlaku di UPNM termasuk yang terkini melibatkan seorang pegawai kadet yang dibuli senior menggunakan seterika yang ditekap pada bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.

Sebelum ini, negara turut digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here