Banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia turut berlaku di selatan Thailand. - Gambar arkib MG

PULAU PINANG – Bukan sahaja cuti menteri-menteri dibatalkan, malahan rakyat juga membatalkan percutian mereka ke negara jiran susulan bah yang berlaku di selatan Thailand.

Pegawai Perhubungan Awam Pelancongan Selatan Thailand, Lin Min Jing berkata, keadaan banjir di Hatyai, bandar terbesar di selatan negara jiran itu, adalah sangat teruk dan pelancong dinasihatkan tidak melawat buat sementara waktu.

Menurutnya, kenderaan tidak boleh memasuki kawasan rendah di Hatyai, malahan orang ramai mencari-cari tempat tinggi yang selamat untuk meletak alat pengangkutan mereka.

“Kenderaan saya terpaksa diletakkan di tingkat enam pusat membeli-belah. Ada pemandu yang meletak kenderaan di jejambat kerana gagal mencari tempat yang lebih sesuai,” katanya kepada Kwong Wah Yit Poh.

Konsulat Malaysia di Songkhla sebelum ini telah menasihatkan rakyat untuk menunda lawatan ke selatan Thailand susulan banjir besar yang berlaku.

Akhbar Thailand pula melaporkan tempahan hotel di Hatyai pada hujung minggu untuk dua minggu berturut-turut telah dibatalkan oleh pelanggan susulan cuaca buruk dan banjir yang berlaku di selatan Thailand dan juga Kelantan, yang bersempadankan Thailand.

Walaupun pihak berkuasa memberi peringatan, namun pengusaha hotel di pusat bandar Hatyai memuat naik gambar menunjukkan aktiviti komersial berjalan seperti biasa di beberapa tempat tumpuan pelancong Malaysia, termasuk Pasar Kim Yong dan Lee Garden Plaza.

Susulan bah yang melanda beberapa negeri, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membekukan cuti semua anggota Jemaah Menteri.

Sebaliknya, Anwar mahu semua menteri dan timbalan menteri turun padang ke kawasan bencana.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here