Exco Kanan, Exco Pertanian Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Abd Razak.

KUANTAN – Bekalan ikan dijamin mencukupi untuk rakyat di negeri ini sepanjang musim tengkujuh yang dijangka berakhir Mac tahun depan.

Exco Pertanian Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Abd Razak berkata, rekod pendaratan ikan bagi tahun 2023 menunjukkan terdapat hasil pengeluaran atau pendaratan ikan lebihan yang turut dipasarkan ke negeri lain.

“Jika merujuk rekod pendaratan ikan tahun 2023 iaitu 136,853 tan metrik yang bernilai RM1.32 bilion menunjukkan Negeri Pahang menghasilkan pengeluaran atau pendaratan ikan yang lebih.

“Kalau dikira dan dibahagikan pula dengan bulan, terdapat lebihan sebanyak 5,071 tan metrik yang boleh kita pasarkan ke luar dari Pahang, jadi maknanya bekalan untuk makluman, alhamdulillah bekalan ikan di Pahang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Tioman- BN) pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Mengenai strategi kerajaan negeri mencapai keterjaminan makanan berkaitan tiga subsektor perikanan, Mohd Soffi berkata, terdapat banyak inisiatif dan peruntukan telah disediakan.

“Antaranya, Projek Pembangunan Integrasi Akuakultur (PPIA Sistem Sangkar Bersepadu) bernilai kira-kira RM6.89 juta sedang dilaksanakan bagi tahun 2024 yang melibatkan lima daerah, 11 kluster dan 43 orang peserta.

“Melalui peruntukan yang disalurkan pada tahun 2024, sebanyak 272 petak sangkar tambahan telah siap dibina selain bantuan lain seperti bakul sangkar baharu, stor makanan, rumah operasi, pelbagai input ternakan, makanan ikan dan benih ikan untuk tempoh satu pusingan ternakan,” katanya.

Tambah Mohd Soffi, pengeluaran penternak ikan sangkar di 11 kluster tersebut dijangka akan dapat ditingkatkan dari 242 tan metrik setahun iaitu pengeluaran sedia ada yang bernilai RM4.84 juta kepada 378 tan metrik setahun yang bernilai RM7.56 juta apabila beroperasi kelak.

Beliau turut memberitahu, Jabatan Perikanan telah menerima sebanyak 10 permohonan kluster baru di sepanjang Sungai Pahang bagi tahun 2025 melibatkan 69 orang peserta dengan implikasi kewangan kerajaan sebanyak RM4,241,600.00.

“Insya-Allah jika pihak KPKM meluluskannya bermakna ia akan terus meningkatkan pengeluaran hasil ternakan khususnya ikan patin dari Sungai Pahang.

“Bagi menyokong ternakan ikan sangkar, kerajaan melalui Jabatan Perikanan akan terus memperkasakan kedua-dua Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) iaitu di Bukit Tinggi, Bentong dan Perlok, Jerantut bagi pengeluaran benih ikan ternakan dan juga pelepasan umum iaitu di sungai-sungai dalam Negeri Pahang.

“Pada tahun 2024, jumlah pengeluaran benih pelbagai spesies ikan telah mencapai lima juta ekor berbanding 4.9 juta ekor pada tahun 2023,” katanya.

Menurutnya, subsektor akuakultur juga akan diperkasakan melalui penggubalan undang-undang baharu iaitu Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Pahang.

Bagi subsektor ketiga iaitu Perikanan Darat atau Perikanan Sungai, rekod pendaratan pada tahun 2023 adalah 1,920 TM yang bernilai RM53.5 juta.

“Usaha yang sama akan dilaksanakan pada tahun 2025 dengan penambahan usaha baru iaitu pembiakan spesies ikan Jelawat yang akan dilaksanakan dengan kepakaran penyelidik Jabatan Perikanan dari Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi Negeri Sembilan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here