AKITA – Seekor beruang yang menyerang seorang pekerja pasar raya berjaya diperangkap dan dibunuh selepas berada tiga hari dalam pasar raya Itoku Tsuchizaki Minato dekat sini.
Beruang sepanjang satu meter itu memasuki kedai berkenaan ketika 21 pekerja sedang bersiap sedia untuk membuka kedai pada pukul 6.30 pagi.
Ia menyerang seorang pekerja berusia 47 tahun, menyebabkan dia mengalami kecederaan di kepala dan muka.
Mujur semasa serangan itu tiada pelanggan di dalam.
Pihak berkuasa mula bertindak, tetapi beruang itu ternyata sukar ditangkap.
Dron yang dipasang juga sukar mengesannya tetapi polis dapat melihatnya di ruang belakang lewat petang itu.
Sepanjang tempoh itu, bahagian daging menjadi kucar-kacir digeledah haiwan ini.
Pasar raya kemudian ditutup dan perangkap kotak diletakkan dengan umpan dedak padi dan madu.
Kira-kira jam 8.10 pagi tadi, salah satu perangkap ini berjaya menjerat haiwan itu, sekali gus menamatkan kebuntuan itu. – Agensi