KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan tiga duit syiling peringatan yang berbeza bersempena ulang tahun ke-150 Jabatan Kerja Raya (JKR); ulang tahun ke-50 Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA); dan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China (MCDR).

Kesemua duit syiling peringatan ini dikeluarkan dalam dua denominasi iaitu Duit Syiling Peringatan Perak Sterling (pruf) dan Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated.

Duit syiling peringatan untuk JKR menampilkan bentuk heksagon yang unik, iaitu yang pertama seumpamanya di Malaysia dan menyerupai bentuk logo JKR.

Duit syiling tersebut diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5% dan mempunyai berat 29.9 gram. Ia mempunyai nilai muka RM10. Duit syiling ini didatangkan dengan kotak kayu premium dan akan dijual pada harga RM440 sekeping.

Duit syiling peringatan untuk RISDA dan MCDR pula diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5% dan mempunyai berat 31 gram. Setiap duit syiling mempunyai nilai muka RM10 dan akan dijual pada harga RM330 sekeping

Kuantiti tempaan adalah 1,000 keping bagi setiap reka bentuk.

Manakala Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain seberat 8.5 gram.

Duit syiling ini mempunyai nilai muka RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping.

Kuantiti tempaan adalah 5,000 keping bagi setiap reka bentuk.

Duit syiling-duit syiling peringatan ini akan turut dijual dalam Set 2 dalam 1 yang terdiri daripada sekeping duit syiling perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic.

Set 2 dalam 1 untuk JKR akan dijual pada harga RM495 manakala untuk RISDA dan MCDR akan dijual pada harga RM385 setiap satu set. Sebanyak 1,000 set tersedia untuk pembelian bagi setiap reka bentuk.

Ketiga-tiga reka bentuk duit syiling peringatan berbeza ini akan dijual secara berasingan.

Bagi memberikan peluang yang adil kepada orang awam untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, akan ada had pembelian bagi setiap reka bentuk iaitu satu set 2 dalam 1, satu duit syiling pruf perak sterling berwarna dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic Brilliant Uncirculated bagi setiap orang.

Orang awam boleh membuat tempahan menerusi pautan duit.bnm.gov.my mulai hari ini hingga 5:00 pagi Isnin, 9 Disember 2024.

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan melalui sistem dalam talian BNM dan bukannya melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah.

Semua tempahan akan dipertimbangkan dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang tersebut, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here