KUALA LUMPUR – Seorang pekerja buruh didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana bertindak agresif menumbuk cermin dan menendang pintu kereta seorang lelaki sehingga kemek, 26 November lalu.
Manakala seorang lagi suspek yang merupakan penganggur dijadikan saksi pendakwaan dalam kes tersebut.
Ketua Polis Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, kejadian tersebut berlaku di lampu isyarat berdekatan Hospital Gleneagles, di sini.
Katanya, pihak polis menerima laporan kejadian tersebut daripada mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun, jam 1.41 pagi, 26 November lalu.
“Siasatan mendapati, kereta Proton Wira yang dipandu pengadu tiba-tiba dihimpit sebuah Perodua Axia yang cuba memasuki laluan pengadu.
“Pengadu kemudiannya membunyikan hon untuk memberi amaran kepada pemandu Axia tersebut bagi mengelakkan pelanggaran.
“Semasa kedua-dua kenderaan itu berhenti di lampu isyarat berdekatan Hospital Gleneagles, suspek telah keluar dari kenderaan dan terus menumbuk cermin kanan kenderaan pengadu sehingga retak serta menendang pintu kiri hingga kemek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohammad Lazim lagi, kes telah disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Bertindak atas laporan pengadu, polis berjaya membuat tangkapan ke atas dua suspek lelaki masing-masing berusia 35 dan 39, Ahad lalu.
Sebelum itu, satu rakam video berdurasi 43 saat membabitkan insiden itu tular di media sosial.
Ia memaparkan seorang lelaki berbaju biru keluar dari kereta Perodua Axia seterusnya merakam videp pemandu kereta Proton Wira sebelum menendang cermin kereta bahagian depan sehingga pecah sebelum masuk semula ke dalam keretanya.
Dalam video sama, pemandu Axia yang berbaju merah keluar dari kenderaan itu sebelum mengetuk kereta pengadu sebelum meminta pergi ke balai polis.-MalaysiaGazette