KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat kecoh seketika selepas Chong Zhemin (PH-Kampar) didakwa sering mengganggu perbahasan ahli-ahli Parlimen pembangkang tanpa mendapat teguran Speaker.
Menggunakan Peraturan 44, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) mendakwa setiap kali ahli Perlimen pembangkang berbahas, Zhemin akan bangun untuk mengganggu.
Dakwanya lagi, Speaker pula seolah-olah membenarkan dan tidak mengambil tindakan terhadap ahli Parlimen kerajaan itu.
“Dia bukan sekali, setiap kali kami berbahas di sini diganggu oleh Kampar…peraturan mesyuarat tidak diendahkan kerana tindakan konkrit dan disiplin serta teguran daripada pihak Yang di-Pertua.
“Adakah ini dijadikan kebiasaan dan dibiarkan sedemikian kerana diberi peranan untuk mengganggu kami berbahas di sini…yang ini tidak adil.
“Boleh gunakan kuasa speaker dan kuasa majoriti untuk membetulkan perangai dia (Zhemin)…peraturan mesyuarat jelas ,” katanya ketika mencelah pada sesi Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, Kementerian Pendidikan.
Mendengarkan perkara itu, Zhemin bangkit dari tempat duduknya untuk membela diri dengan mengatakan tidak perlu ahli Parlimen Beluran itu membazirkan masa persidangan.
Katanya, beliau hanya bertanyakan sesuatu yang berkaitan dengan soal pendidikan ketika Datuk Mas Ermieyati Shamsudin (PN-Masjid Tanah) membahaskan RUU berkenaan.
Timbalan Yang Dipertua, Alice Lau Kiong Yieng yang mengendalikan mesyuarat kemudianya berkata, beliau merasakan tidak perlu menggunakan apa-apa peraturan dalam hal tersebut.
Ujarnya, jika terdapat keperluan ahli Parlimen berkenaan boleh menghantar usul sekiranya perlu.
Datuk Radzi Jidin (PN-Putrajaya) turut bersuara dengan mengatakan, tidak pernah ada tindakan dikenakan terhadap Zhemin.
Ronald kemudiannya, memetik agar semua ahli dewan termasuk speaker membaca peraturan mesyuarat perkara 7.
Beliau menjelaskan, seseorang yang duduk di tempat Yang Dipertua Dewan Rakyat berhak menggunakan kuasanya sebagai seorang speaker meskipun individu berkenaan hanyalah seorang timbalan yang dipertua, namun mempunyai kuasa sebagai seorang speaker.
Alice kemudiannya menyatakan beliau berharap agar ahli-ahli Parlimen pembangkang turut menghormati beliau sebagai seorang speaker.
“Saya mahu yang berhormat duduk sebab saya mahu teruskan perbahasan,” kata Alice. – MalaysiaGazette