KUALA LUMPUR – Legenda muzik pop British, Elton John mendedahkan beliau sudah hilang penglihatan.
“Sebelum ini, saya tidak hadir ke banyak tayangan pratonton kerana seperti yang diketahui umum, saya tidak lagi mampu melihat.
“Walaupun begitu, saya masih suka mendengar dan muzik yang dimainkan malam ini sangat merdu. Saya amat menikmatinya,” kata Elton.
Penyanyi berusia 77 tahun itu berkata demikian di atas pentas semasa persembahan gala muzikal ‘The Devil Wears Prada’ di London, kelmarin.
“Buat masa ini, pergerakan saya agak terbatas seperti tidak dapat melakukan rakaman lagu kerana tidak dapat membaca lirik.
“Tetapi, saya harap dengan adanya sokongan dan dorongan ramai, semuanya akan baik-baik sahaja,” ujarnya.
Elton pertama kali memberitahu secara terbuka mengenai masalah penglihatannya melalui satu perkongsian di laman Instagram pada September lalu.
Katanya, dia telah menghidapi jangkitan pada mata kanannya yang mengakibatkan mata kanan tidak dapat melihat.
Mata kirinya pula tidak begitu baik dan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada keupayaannya menulis dan merakam lagu pada masa hadapan. – Agensi