KUALA LUMPUR – Perkhabaran duka kematian isteri kepada seorang guru lelaki yang dikenali sebagai Cikgu Din pada jam 9 malam tadi mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Fadhlina dalam satu kenyataan menzahirkan ucapan takziah atas penergiaan Nur Atiqah My Yusoff, 30.
“Perkhabaran duka itu dikongsikan Cikgu Din atau nama sebenar Mohamad Izzudin Izhar, 34, menerusi perkongsiannya di aplikasi WhatsApp.
“Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Menerima perkhabaran duka perihal pemergian ke Rahmatullah Allahyarhamah Nur Atiqah My Yusoff, isteri kepada Cikgu Mohammad Izzuddin Izhar (Cikgu Din) dari SJK(C) Ming Wok in Kanowit, Sarawak.
“Ucapan takziah dan turut berduka cita kami sampaikan buat kaum keluarga Allahyarhamah. Al-Fatihah,” ucap Fadhlina.
Berita pemergian Nur Atiqah itu dikongsikan Cikgu Din menerusi perkongsiannya di aplikasi WhatsApp.
“Isteri saya telah menghembuskan nafas yang terakhir jam 9 (malam) tadi… saya mohon maaf kalau isteri saya ada salah silap, dan kalau ada hutang (Allahyarham) mohon beritahu saya,” kongsi Cikgu Din ringkas.
Allahyarhamah Atiqah yang menghidap kanser tulang rawan tahap empat menghembuskan nafas terakhir jam 9 malam di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.
Kisah sedih Cikgu Din tular pada Oktober lalu selepas harapannya untuk bersama-sama dengan isterinya yang bertarung nyawa melawan kanser di Kelantan.
Disebabkan bertugas di Sarawak, Cikgu Din sanggup berulang-alik dari negeri itu ke Kota Bharu, Kelantan setiap dua minggu untuk menemani isteri.
Ketika itu permohonannya untuk bertukar masih belum berjaya.
KPM kemudian mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kelantan, bersetuju untuk menempatkan Cikgu Din di sekolah berhampiran isterinya untuk tempoh sementara. – MalaysiaGazette