Chew Sheng Yan, bersama keluarga pada Istiadat Konvokesyen UPM Ke-48 di Lobi Dewan Besar, PKKSSAAS, UPM Serdang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 3 DISEMBER 2024

SERDANG – Dilahirkan sebagai autisme tidak menghalang Chew Sheng Yan menempah nama menjadi graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Kayu dengan Kepujian, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, hari ini.

Anak bongsu daripada dua adik-beradik yang berasal dari Melaka ini tidak segan mengakui melalui proses pembelajaran yang mencabar sepanjang empat tahun di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak hanya bergantung pengajaran ketika kuliah, sebaliknya Chew akan memanfaatkan setiap waktu yang ada untuk berjumpa dengan pensyarah untuk membantunya memahami ilmu yang disampaikan.

“Cabaran saya adalah tidak dapat memahami beberapa konsep yang telah diberikan oleh pensyarah. Saya memerlukan lebih masa untuk membuat ulang kaji dan bertanya kepada pensyarah di luar waktu kuliah.

“Selain itu, saya selalu bertanya kepada rakan apa yang saya tidak faham dan ulang kaji bersama sebelum ada ujian,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen kali ke-48 (Sidang 4), hari ini.

Beliau bersyukur kerana ahli keluarga, rakan-rakan dan pensyarah tidak pernah berputus asa dalam memberikan bantuan dan memastikan Chew dapat memahami setiap kuliah yang diberikan.

“Saya bersyukur kepada Tuhan, ahli keluarga, pensyarah dan UPM termasuk rakan-rakan saya kerana mereka mempunyai peranan masing-masing dalam menyokong dan membantu saya,” tambahnya.

Chew yang disahkan autisme sejak berusia lebih kurang dua tahun mendapat galakan untuk melanjutkan pengajiannya dalam program Sains dan Teknologi Kayu daripada salah seorang kaunselornya.

Dalam pada itu, Chew menasihatkan golongan senasib dengannya supaya tidak mudah berputus asa untuk mencari kejayaan.

Ujarnya, kata-kata negatif mengenai golongan autisme juga tidak perlu dilayan sebaliknya dijadikan pembakar semangat untuk mengubah nasib hidup, menjadi lebih berjaya.

“(Untuk austisme di luar sana) teruskan berusaha sebaik mungkin, jangan berputus asa dan jangan biarkan kata-kata negatif pengaruh hidup anda,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here