KUALA LUMPUR – Sekumpulan wanita disyaki pelayan pelanggan (GRO) sanggup bersembunyi di dalam tandas dan tempat menyimpan minuman dan ruang dinding pentas agar tidak dikesan pihak berkuasa.
Kesemua mereka bagaimanapun berjayadicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu serbuan di pusat hiburan di Puchong dekat sini malam Isnin lalu.
Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pihaknya melaksanakan operasi itu selepas menerima aduan awam serta risikan di pusat hiburan yang dipercayai turut menawarkan khidmat GRO warga asing.
Pemeriksaan mendapati premis yang terletak di bangunan tiga tingkat itu pada awalnya dikunci dan memaksa anggota memecahkan pintu tersebut.
“Serbuan yang dijalankan lebih kurang 9 malam itu bertukar kecoh seketika apabila beberapa individu dalam premis terbabit cuba melakukan provokasi semasa pasukan serbuan menjalankan pemeriksaan namun keadaan berjaya dikawal.
“Pasukan membuat pemeriksaan ke atas 66 individu terdiri daripada pelanggan dan pekerja yang berada di dalam pusat hiburan tersebut.
“Hasilnya, seramai 56 gadis yang terdiri daripada warga Vietnam dipercayai GRO berjaya ditahan bersama lapan lelaki warga Myanmar dan dua lelaki Bangladesh yang merupakan pekerja di premis terbabit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Khairrul, kesemua individu yang ditahan itu adalah berusia lingkungan antara 19 hingga 40 tahun dan didapati melakukan pelbagai kesalahan berkaitan Akta Imigresen 1959/63.
“Kita melakukan siasatan dan tindakan ke atas mereka melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c), Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua individu ditahan di pusat hiburan itu dibawa ke Pejabat JIM Selangor untuk tindakan sewajarnya,” ujarnya.
Menurutnya, serbuan di pusat hiburan itu merupakan salah satu daripada beberapa siri operasi yang dilaksanakan JIM Selangor sebelum ini.
“Kita akan meneruskan operasi ini berdasarkan aduan yang diterima dan didaftarkan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang pendatang asing tanpa izinĀ juga diseru memberi kerjasama menyalurkan informasi kepada pihak JIM Selangor untuk tindakan selanjutnya berlunaskan undang-undang. – MalaysiaGazette