Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan menetapkan harga siling Rumah Mampu Milik (RMM) pada RM300,000 selaras Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM).

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kementerianya juga melaksanakan pemetaan harga RMM berdasarkan pendapatan median mengikut negeri dan daerah sebagai panduan pemaju serta agensi penyedia perumahan bagi penetapan harga jualan rumah di satu-satu lokaliti.

Menurutnya, ia boleh diakses melalui Dashboard Maklumat Rumah Mampu Milik di laman web Malaysia Urban Observatory (MUO).

“Bagaimanapun, siling harga RMM turut tertakluk kepada ketetapan di peringkat negeri,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri S. Vell Paari yang meminta Menteri KPKT menyatakan apakah inisiatif Kementerian dalam membantu golongan anak muda untuk membeli rumah pertama mereka dengan harga pasaran kini agak tinggi dan membebankan terutamanya kepada golongan anak muda yang baru memulakan kerjaya mereka dalam bidang masing-masing.

Terdahulu, Kor Ming berkata, kerajaan maklum cabaran dalam sektor perumahan adalah peningkatan harga hartanah yang dipengaruhi pelbagai faktor, antaranya lokasi, kos pembinaan rumah, kos infrastruktur, kos tanah dan kos pematuhan serta keuntungan pemaju.

Manakala kata beliau, cabaran penyediaan lebih banyak RMM disumbang oleh faktor antaranya, kecenderungan pihak pemaju swasta untuk membayar levi atau penalti berbanding menyediakan RMM.

Dalam pada itu Kor Ming berkata, kerajaan telah memperkenalkan Program Perumahan Rakyat (PPR) Sewa Untuk Beli bermula pada 2017.

Jelasnya, PPR RTO merupakan skim pembiayaan mudah, khusus bagi membantu pemilikan rumah oleh golongan berpendapatan rendah (B40) yang telah ditawarkan unit PPR tetapi gagal mendapatkan pembiayaan daripada mana-mana institusi kewangan.

“Skim RTO ini adalah usaha proaktif KPKT untuk menggalakkan pemilikan rumah secara berperingkat kerana ia juga membuka ruang untuk golongan muda yang baru bekerja untuk memiliki rumah dengan cara menyewa dalam tempoh masa tertentu dan kemudiannya boleh memilih untuk membeli rumah tersebut.

“Menilai kepada manfaat untuk rakyat, pelaksanaan skim RTO akan diteruskan bagi Program Residensi Rakyat (PRR) melalui projek-projek yang sedang dan akan dilaksanakan,” ujarnya.

Selain itu kata beliau, PPR dan PRR, adalah inisiatif penyediaan RMM lain di bawah KPKT termasuklah Rumah Mesra Rakyat (RMR), Program Perumahan PR1MA dan Kediaman SPNB. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast