Kakitangan Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) melakukan pemantauan mengenai situasi paras air sungai dan banjir semasa, di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir (PRABN), JPS Ampang, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Luruan hujan yang melebihi dua kali ganda adalah faktor berlaku banjir luar biasa di negeri-negeri Pantai Timur berbanding 10 tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, situasi itu sekaligus menyebabkan air sungai di Kelantan dan Terengganu mencatatkan paras tertinggi tahun ini.

“Banjir besar berpotensi berlaku di 4,619 kawasan panas banjir yang mengakibatkan limpahan sungai dan hujan lebat berterusan selama enam jam.

“Ditambah dengan air pasang besar menyebabkan keadaan jadi lebih buruk. Maknanya sungai dan laut dah memang dah tinggi.  Jadi bertembunglah dengan air hujan dan berlakunya limpahan.

“Kalau dibandingkan situasi banjir pada 2014, keadaan sungai tahun ini adalah lebih tinggi berbanding sebelumnya,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof bercakap ketika sidang media selepas hadir pada sesi taklimat mengenai situasi semasa paras air sungai dan banjir, di Jabatan Perairan dan Saliran (JPS), Ampang, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 DISEMBER 2024

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir Taklimat Banjir Monsun Timur Laut 2024/2025 di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), di sini hari ini.

Sebelum itu, Fadilah turut mengadakan lawatan ke ‘war room’ di Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB), Petaling Jaya.

Katanya, ketika ini Kelantan merekodkan bacaan hujan luar biasa di sembilan stesen termasuk Kusial, Tanah Merah iaitu 1,167 milimeter (mm) manakala di Terengganu pula, bacaan tertinggi di Kalabe, Besut adalah 1,439 mm.

Fadilah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut mengingatkan kepada penduduk di Pahang dan Johor untuk sentiasa bersiap siaga menghadapi situasi banjir tidak lama lagi.

“Mengikut jangkaan selepas ini aliran banjir akan turun ke Pahang dan Johor dan membawa risiko banjir sama ke arah selatan. Jadi kita (pihak berkuasa) sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga.

“Pada masa sama, kita juga akan memantau semua aliran sungai di kawasan yang berisiko dan sebaran maklumat situasi semasa turut disalurkan,” jelasnya.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof hadir pada sesi taklimat War Room Banjir di Wisma TNB, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 03 DISEMBER 2024

Beliau juga memaklumkan, sebanyak 31 notis ramalan awal telah dikeluarkan PRABN di 11 negeri termasuk Johor, Kelanta dan Terengganu.

“Ia termasuk 27 notis hebahan amaran banjir di 27 daerah membabitkan 518 kawasan banjir dan terkini, di Besut (7 kawasan) dan Setiu (3 kawasan) yang berisiko pada 3 hingga 6 Disember ini,” ujarnya.

Pada masa sama, Fadillah turut menasihati orang ramai sentiasa menyemak sebarang mesej berkaitan bantuan dengan pihak berkuasa bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan (scam). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here