KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) menerima 529 aduan setakat 22 November lalu sejak ia dikuatkuasakan bermula 1 Julai 2023.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Abdullah berkata, daripada jumlah, sebanyak 140 aduan masih tertunggak sebelum Akta 839 dikuatkuasakan.
“Antara aduan yang diterima IPCC merangkumi tiga kategori termasuk rasuah yang disalurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (PDRM).
“Selain itu, IPCC juga menerima aduan berkenaan kes jenayah yang kemudian dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kes Tatakelakuan anggota pula disiasat IPCC,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Peluncuran IPFC (IPCC, Police, Friends & Collaborators).
Turut hadir Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Dalam pada itu, sehingga kini, IPCC telah mengadakan 195 lawatan ke fasiliti PDRM, termasuk enam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).
“IPCC telah menggubal prosedur operasi standard (SOP) untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan.
“Mereka juga sedang menyediakan peraturan di bawah Seksyen 46 Akta 839 untuk mentafsirkan kuasa menteri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette