KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,206 kes berkaitan penyalahgunaan barang kawalan diesel telah dicatatkan sejak Januari 2022 hingga Oktober lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, di Semenanjung Malaysia sebanyak 1,617 kes, Sarawak (421 kes), Sabah (141 kes) dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak 11 kes.
Jumlah nilai rampasan diesel yang dihasilkan ialah RM47 juta dengan bilangan tangkapan yang dilakukan dalam tempoh tersebut ialah 1,177 orang melibatkan warganegara dan bukan warganegara.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup mengambil serius berhubung aktiviti penyelewengan diesel di negara ini.
“Antara faktor yang mendorong aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi ini adalah disebabkan permintaan yang tinggi dalam sektor industri dan penyeludupan ke luar negara serta penetapan harga bagi dieselbersubsidi yang diberikan secara pukal oleh kerajaan mendorong ke arah kegiatan ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta Menteri KPDN menyatakan jumlah tangkapan dan rampasan bagi kes penyelewengan subsidi diesel di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak sejak 2022 hingga kini. – MalaysiaGazette