Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan). Dr Zaliha Mustafa.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan akan mengekalkan Kampung Baru sebagai kawasan kebanggaan orang Melayu, kata Dr Zaliha Mustafa.

Justeru Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu memohon semua pihak  menyokong hasrat kerajaan membangunkan Kampung Sungai Baru di Kampung Baru.

“Bagi pihak kerajaan, saya mohon sokongan semua pihak diberikan kepada projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru ini.

“Diharapkan boleh menjadi antara projek rintis dalam kita memajukan dan membangunkan semula Kampung Baru dan menaik taraf kehidupan pemilik-pemilik melalui hartanah secara menyeluruh,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Zaliha memberitahu, bantahan penduduk Kampung Sungai Batu melibatkan 13 permohonan daripada unit flat dan 62 permohonan daripada lot teres.

Beliau berkata, bagi unit flat, mahkamah memerintahkan 11 permohonan daripada pemilik unit flat diberi tambahan bayaran pampasan sebanyak RM18,000 hingga RM24,000 seunit berdasarkan perintah penghakiman persetujuan penyelesaian luar mahkamah.

“Keseluruhan tambahan bayaran pampasan berjumlah RM200,000 telah diserahkan kepada pemohon-pemohon terlibat manakala baki bagi dua permohonan lagi masih dalam tindakan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, bagi lot teres pula, satu permohonan dibicarakan pada Mei lalu dan mahkamah memutuskan tambahan bayaran pampasan sebanyak RM69,000.

Jumlah itu bersamaan lebih kurang lapan peratus daripada anugerah hartanah oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL) berjumlah RM874,000.

Baki bagi 61 permohonan melibatkan pemilik lot teres ini masih dalam tindakan AGC.

Dr Zaliha berkata demikian menjawab pertanyaan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang meminta kerajaan menyatakan status rayuan tuntutan pampasan yang lebih adil oleh kumpulan minoriti yang menolak tawaran pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here