Keadaan banjir di Kelantan. foto BERNAMA

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan bantuan dan sokongan sepanjang musim banjir yang melanda negeri itu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nasuruddin Daud berkata, penghargaan turut ditujukan kepada agensi-agensi keselamatan yang berhempas pulas menyelamatkan mangsa banjir dan memberikan perkhidmatan cemerlang kepada mereka.

Ujar beliau, semangat tolong-menolong dan keprihatinan yang ditunjukkan mencerminkan kekuatan persaudaraan Islam dan kepedulian sosial dalam kalangan masyarakat yang berjaya mengatasi segala perbezaan yang wujud.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nasuruddin Daud ketika turun padang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri itu. – Foto: FB Menteri Besar Kelantan

“Musibah banjir yang dihadapi ini menuntut kita untuk tingkatkan kesabaran.  Ingatlah, dalam setiap kesusahan itu adanya kesenangan yang akan kunjung tiba.

“Seluruh rakyat hendaklah berganding bahu dan bersatu hati dalam menghadapi ujian ini dengan segala bentuk bantuan agar susah senang kita hadapi bersama,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd. Nasuruddin turut menyeru seluruh rakyat Kelantan untuk terus berdoa dan mengadakan solat hajat bagi memohon kesejahteraan negeri tersebut serta dijauhkan dari segala musibah yang tidak diingini.

Kelantan menjadi negeri paling teruk terjejas dengan bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri sejak minggu lalu apabila lebih 100,000 penduduknya terpaksa dipindahkan ke lebih 300 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di hampir seluruh daerah di negeri berkenaan.

Namun situasi banjir di negeri itu ketika ini dilaporkan semakin pulih dengan lebih 34,000 mangsa sudah kembali ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, penduduk negeri itu serta negeri-negeri lain di Pantai Timur masih berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan kemungkinan banjir gelombang kedua memandangkan METMalaysia menjangkakan luruan monsun yang berpotensi menyebabkan hujan berterusan akan berlaku dalam tempoh bermula 8 hingga 14 Disember ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here