KUALA LUMPUR – Gerakan menggesa kerajaan menyediakan peruntukan khas bagi mempercepatkan pelaksanaan rancangan pengurusan banjir di kawasan-kawasan berisiko di seluruh negara khususnya di Pantai Timur.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, peruntukan tersebut kini dilihat menjadi keutamaan mendesak yang boleh digunakan setiap tahun untuk mengurangkan kerugian kewangan dan kehilangan nyawa akibat bencana alam.
Jelas beliau, walaupun kerajaan memperuntukkan hampir RM600 juta dalam Belanjawan 2025 untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi menghadapi banjir, termasuk RM300 juta persediaan menghadapi bencana namun katanya jumlah itu hanya mencukupi untuk bantuan di kawasan bencana.
Namun ia tidak cukup untuk melaksanakan pengurusan banjir yang berkesan.
“Banjir membawa kepada kerugian nyawa dan harta benda secara langsung, serta secara tidak langsung menyebabkan penurunan nilai hartanah dan menjejaskan pelaburan, terutama di beberapa kawasan Pantai Timur yang merupakan kawasan hitam banjir.
“Walaupun bencana alam tidak dapat dielakkan, rancangan pengurusan air yang terperinci oleh kerajaan mungkin dapat membantu mencegah banjir dan mengurangkan kerugian ke tahap minimum” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, beliau menzahirkan penghargaan terhadap usaha pelbagai pihak tanpa mengira ideologi politik untuk membantu mangsa banjir.
Sementara itu, beliau menyarankan kerajaan menjalankan kajian sebelum melaksanakan rancangan pengurusan air secara menyeluruh.
Jelasnya ini bagi menangani kerugian dan kehilangan nyawa yang diakibatkan bencana bekenaan saban tahun.
Dominic berkata, sebagai rekod Semenanjung Malaysia pernah mengalami banjir besar merentas negeri yang paling teruk pada akhir tahun 2014.
Kejadian itu menyebabkan 22 kematian dan lebih 200,000 orang kehilangan tempat tinggal dengan kerugian kira-kira RM2 bilion.
Angka ini tidak termasuk kos yang ditanggung kerajaan untuk menggerakkan anggota tentera, polis, dan agensi lain ke kawasan bencana bagi bantuan dan operasi menyelamat.
Oleh itu menurutnya, kerajaan perlu menjalankan kajian menyeluruh selepas kejadian ini dan melaksanakan rancangan pengurusan air yang menyeluruh.
“Pengurusan air memerlukan tindakan segera. Rakyat mahukan hasil yang berkesan. Ini memerlukan kerjasama semua pihak kerana jika hanya melakukan kerja-kerja pengurusan banjir secara berasingan dan kecil-kecilan, ia hanya akan sia-sia,” ujarnya.-MalaysiaGazette