Lawyers for Animal Rights mohon tindakan pembunuhan anjing dan anak-anaknya di perkarangan sebuah sekolah baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Lawyers for Animal Rights mengecam keras tindakan tidak berperikemanusian memukul hingga mati seekor anjing terbiar dan enam ekor anaknya yang berlaku di SMK Bandar Baru, Sungai Buloh, Selangor minggu lepas.

Barisan peguam Lawyers for Animal Rights, Rajesh Nagarajan, Sachpreetraj Singh Sohanpal berkata, tindakan tidak berperikemanusiaan ini melanggar Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 (AWA 2015).

“Kami menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan pantas dan tegas terhadap pelaku jenayah ini serta mendakwa mereka dengan segera.

“Perbuatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga mencerminkan ketiadaan belas kasihan yang amat membimbangkan dalam masyarakat kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian tragis yang berlaku di dalam kawasan sekolah itu telah mencetuskan kemarahan ramai dan desakan untuk keadilan segera.

Menurut laporan, perbuatan dilakukan seorang individu dalam sekolah itu yang bertindak memukul kepala anjing itu selepas didapati tersekat pada pagar surau sekolah sebelum dipukul sehingga mati.

Lebih mengejutkan apabila individu itu juga memukul hingga mati enam ekor anak anjingnya yang berada di lokasi itu. 

Lawyers for Animal Rights mendesak keadilan ditegakkan untuk haiwan-haiwan yang menjadi mangsa keganasan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Kami amat komited untuk menuntut agar keadilan untuk haiwan-haiwan ini dengan harapan insiden seperti ini tidak akan berlaku selepas ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here