KUALA LUMPUR – Lelaki warga asing yang disyaki membunuh dan mencederakan rakan sekerja di Ladang Santos NPC, Kinabatangan, Sabah pada Jumaat lalu berjaya ditahan kira-kira jam 8.00 malam semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Asisten Superintendan Mohd Zulfikar Abd Salam berkata lelaki itu telah menyerah diri kepada orang awam di kawasan Ladang Lokan Baru, Telupid, yang terletak kira-kira 12 kilometer dari tempat kejadian.
“Dia telah menyerah diri pada jam 5.30 petang sebelum ditangkap dalam hari yang sama dan kini telahpun dibawa ke Balai Polis Telupid untuk siasatan lanjut.
“Turut dirampas bersama suspek adalah sebilah parang berukuran 37 sentimeter, dipercayai digunakan untuk mengelar leher mangsa hingga mati dan menikam seorang lagi mangsa hingga parah di bahagian dada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kes akan dijalankan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Mohd Zulfikar turut menyampaikan penghargaan kepada masyarakat yang telah banyak membantu menyelesaikan kes itu.
Terdahulu, media melaporkan tentang kematian seorang lelaki, Christian Andi berusia dalam 30-an, akibat dikelar di bahagian leher.
Manakala seorang lagi mangsa, Bernadus Bagalewok, 24 yang cuba meleraikan pergaduhan parah ditikam di bahagian dada.
Difahamkan juga sebelum kejadian, ketiga-tiga mereka telah menghadiri majlis sambutan hari lahir rakan kerja di ladang berkenaan. – MalaysiaGazette