KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan walaupun selepas pengambilalihan dan penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah dimuktamadkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya tawaran itu dipersetujui pemegang sahamnya, MAHB masih tertakluk kepada terma dan syarat terkandung dalam Perjanjian Pengoperasian sedia ada yang ditandatangani mereka bersama pihak kerajaan.
Menurut beliau, perkara itu akan memastikan tiada sebarang perubahan kepada tanggungjawab dan bidang tugas MAHB sedia ada.
“Dari aspek kepentingan kepada negara Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melihat wujud keperluan mendesak untuk operasi MAHB ditambah baik dan pelaburan dibuat lebih pantas.
“Ini mengambil kira unjuran peningkatan trafik penumpang dan keadaan infrastruktur semasa yang tidak dapat menampung jumlah masa kini serta keperluan masa depan negara,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai kesediaan kerajaan mendedahkan kepada Parlimen salinan perjanjian pemegang saham MAHB antara tiga pihak yang berhasrat untuk menswastakannya.
Anwar menambah, jika tawaran itu dipersetujui pemegang saham MAHB yang lain, pemilikan MAHB oleh konsortium berkenaan berdasarkan pecahan iaitu Khazanah sebanyak 40 peratus pegangan, KWSP (30 peratus) dan Abu Dhabi Investment Authority serta Global Infrastructure Partners (30 peratus).
“Memandangkan ini adalah perjanjian membabitkan empat pihak swasta, ia tertakluk kepada prinsip kerahsiaan komersial seperti kelaziman dalam sebarang transaksi yang bersifat sedemikian.
“Bagaimanapun kerajaan sudah meneliti dan berpuas hati dengan segala perincian dikemukakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette