JOHOR BAHRU – Polis memburu dua lelaki yang mencuri motosikal milik lelaki warganegara Singapura di kawasan parkir Hotel Amari, Jalan Trus di bandar raya ini semalam.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima video kejadian itu yang tular pada pukul 9 pagi tadi memaparkan kejadian curi motosikal oleh dua individu di kawasan parkir tersebut.
Katanya, menerusi siasatan kejadian tersebut berlaku pada pukul 4.44 pagi semalam dan mangsa membuat laporan di Balai Polis Sentral pukul 4.47 petang hari yang sama.
“Mangsa mengadu motosikal jenis Yamaha RXZ warna hitam miliknya hilang di tempat letak motosikal hotel tersebut.
“Pengadu merupakan seorang warganegara Singapura berusia 23 tahun dan bekerja sebagai pengurus pengacara majlis di Singapura,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, berikutan kehilangan motosikal itu mangsa mengalami kerugian RM7,000.
Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan mendapati dua suspek telah memasuki kawasan parkir motosikal menggunakan sebuah motosikal Yamaha 125ZR warna biru.
Kedua-dua suspek ujarnya, dilihat membawa keluar motosikal mangsa pada pukul 4.44 pagi semalam.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pihaknya kata Raub, sedang berusaha mengesan suspek dan pada masa sama menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan memastikan kenderaan mereka dikunci dan dipasang peranti keselamatan tambahan bagi mengelak kejadian seperti itu berlaku.
“Polis juga menyeru orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan atau menghubungi talian hotline 07-2182323.- MaysiaGazette