Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir bagi mendengar perbicaraan kes penyelewengan dana 1 Development Malaysia Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mendakwa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beberapa pegawai kanan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkonspirasi dengan Low Taek Jho atau Jho Low melakukan salah laku dan penyelewengan dalam syarikat pelaburan strategik negara itu.

Mereka ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman; bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Pegawai Khasnya, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin; dan bekas Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir.

Bekas Perdana Menteri berkata, mereka yang turut dipanggil sebagai saksi-saksi pendakwaan berkonspirasi dengan ahli perniagaan dalam buruan itu kerana sering mengadakan pertemuan di rumah beliau (Jho Low).

Najib menyatakan, beliau sendiri tidak pernah ke rumah Jho Low atau mengetahui kediamannya di Jalan Kia Peng di sini.

Shahrol Azral ketika memberi keterangan menyatakan, semua keputusan besar melibatkan 1MDB disampaikan kepada beliau oleh Jho Low melalui emel selain mengadakan pertemuan di rumahnya di Jalan Kia Peng bagi mengetahui tindakan susulan yang perlu dilakukan.

Mahkamah sebelum ini pernah diberitahu mengenai budaya kerja secara silo (kerja dalam komuniti) dan `pendekatan dari atas ke bawah’ di mana mereka percaya arahan atau pelan tindakan daripada Jho Low mendapat restu dan persetujuan daripada Najib, dan mesti dilaksanakan.

Bagaimanapun Najib berpendirian, Shahrol Azral tidak sepatutnya melayan keputusan besar disampaikan oleh Jho Low kerana dia tidak memegang sebarang peranan atau kuasa dalam 1MDB.

Sebaliknya, ujar beliau, Shahrol Azral memilih untuk mengikut arahan Jho Low menggunakan emel peribadinya, bukan akaun rasmi 1MDB atas alasan komunikasi mereka adalah rahsia.

Najib, 71, menyatakan demikian ketika membaca pernyataan pembelaannya bagi menjawab empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB
dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Dalam pembelaannya, Najib berkata, mudah untuk meletakkan kesalahan kepadanya atas apa yang berlaku kepada 1MDB semata-mata untuk melindungi individu lain yang terbabit dalam salah laku.

“Mudah bagi mereka menyalahkan saya kerana naratifnya adalah untuk melindungi mereka daripada kebertanggungjawaban terhadap aktiviti jenayah yang mereka lakukan secara sedar bagi pihak Jho Low.

“Dakwaan budaya kerja secara silo ini tidak masuk akal, ia hanya muncul semasa perbicaraan dan kesimpulan yang tidak dapat ditolak ialah saksi pendakwaan sepakat meletakkan semua kesalahan kepada saya,” katanya.

Najib juga menafikan wujud struktur budaya kerja secara silo dalam pentadbirannya di pejabatnya sebaliknya ia adalah protokol yang agak standard untuk melindungi kerahsiaan dan integriti tugas Perdana Menteri,” katanya.

Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here