Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir bagi mendengar perbicaraan kes penyelewengan dana 1 Development Malaysia Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, tiada tindakan diambil terhadap bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz atau suaminya meskipun berbilion dollar yang didakwa sebagai wang rasuah mencurah masuk ke negara ini dalam tempoh semalaman dengan kelulusan bank pusat itu.

Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, sebanyak AS$8.2 juta diterima oleh suami beliau, Tawfiq Aiman melalui campur tangan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Menurut bekas Perdana Menteri, perkara itu didedahkan hasil keterangan bersumpah seorang pegawai bank, Tim Leissner dalam satu perbicaraan di Amerika Syarikat (AS).

Ujar Najib, keterangan Tim mendedahkan bahawa suami Zeti memanfaatkan kedudukan isterinya bagi memudahkan proses kelulusan sebagai pertukaran untuk rasuah.

“Saya juga mendapat tahu melalui keterangan Tim bahawa Iron Rapsody iaitu akaun milik Tawfiq Aiman telah menerima AS$6,250,000 pada 17 Disember 2009 dan AS$732,234 pada 21 Mei 2010 atas arahan Jho Low kepada Sherman dan Sterling.

“Jho Low turut mengarahkan Asset Central Holding, sebuah syarikat yang dimilikinya untuk memasukkan AS$1,250,000 pada 18 Disember 2009 kepada Iron Rhapsody.

“Hingga kini tiada tindakan diambil terhadap Zeti atau suaminya. Sebaliknya, saya telah dipilih sebagai individu tunggal yang dikejar secara agresif oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” ujar beliau ketika membela diri hari ini.

Ujar Najib, perbezaan ketara itu menunjukkan agenda pendakwaan politik yang disengajakan dan disasarkan terhadapnya bercirikan siasatan berat sebelah dan tidak adil bertujuan untuk melindungi orang lain yang terlibat dengan Jho Low.

Beliau turut terkejut dengan pendakwaan terpilih itu meskipun fakta menunjukkan Singapura menyedari wujud transaksi membimbangkan sehingga memaklumkan kepada BNM, namun perkara itu dipadamkan oleh pihak-pihak berkepentingan di bank pusat itu.

Najib, 71, menyatakan demikian ketika membaca pernyataan pembelaannya bagi menjawab empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here